Sistem khusus perlu dirangka kerajaan, tangani ketidaksamarataan jurang pendapatan – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 1 Oct — Kerajaan perlu merangka dan mewujudkan satu sistem khusus bagi menangani isu ketidaksamarataan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dengan luar bandar.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan isu ketidaksamarataan jurang pendapatan adalah satu isu yang berlaku secara berpanjangan dan perlu ditangani segera supaya jurang perbezaan tersebut tidak terlalu besar.

Beliau berkata, melihat kepada dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu, beliau merasakan kerajaan pada masa kini amat serius untuk merapatkan jurang perbezaan tersebut.

“Kita kena ingat, dokumen RMK12 dibuat dalam suasan negara sedang melanda wabak pandemik COVID-19.

“Saya lihat kerjaan sedang dalam satu usaha untuk memulihkan kehidupan rakyat dari kesan-kesan negatif wabak pandemik COVID-19, sama ada dari segi kesihatan dan juga ekonomi,” katanya dalam satu forum yang dianjurkan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata keputusan kerajaan untuk membantu golongan pertengahan iaitu M40 dalam pembentangan RMK12 merupakan satu tindakan yang wajar.

Jelas beliau, golongan pertengahan M40 juga perlu diperkasakan supaya dapat membantu negara mara kehadapan untuk menghadapi cabaran ekonomi.

“Selama ini kita bercakap mengenai golongan B40. Betul, mereka memang satu golongan yang perlu dibantu. Tetapi untuk Malaysia mara lebih kehadapan, kita jangan lupa golongan pertengahan ini.

“Golongan B40 yang tidak berkemampuan ini biasanya akan dapat bantuan. Tetapi golongan M40 ini mereka tersepit, dia tidak mampu dan tidak dapat bantuan.

“Jadi dalam RMK12 ada menyebutkan golongan M40 ini juga akan diberikan bantuan. Ini satu tindakan yang bijak kerana golongan ini juga terdesak pada masa kini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *