Empat ADUN umum tarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka

MELAKA, 4 Okt — Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Perkembangan mutakhir ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Dewan Undangan Negeri mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2) , Amanah (2) dan Bebas (1).

Bercakap pada sidang media di sebuah hotel di sini, Idris yang mewakili keempat-empat ADUN itu berkata kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri hari ini.

“Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri hari ini.

“Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini (baharu) untuk ditubuhkan,” katanya.

Bekas ketua menteri itu berkata tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang ‘flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.

“Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keempat-empat mereka bersedia berdepan dengan segala kemungkinan akibat tindakan yang dilakukan hari ini.

“Kami meletakkan kepentingan rakyat. Jadi kami serah kepada parti dan tunggu dipanggil Lembaga Disiplin UMNO kerana saya dan Nor Azman masih lagi ahli UMNO,” kata Idris.

Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang pada Mac tahun lepas.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *