FEPO diharap wujud lebih banyak peluang perniagaan, pekerjaan di Sabah

KOTA KINABALU, 4 Sept — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap Pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) diharap dapat mencipta lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata pelancaran kontrak itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan di setiap rantaian bekalan industri kelapa sawit di negeri ini terutama dalam sektor pengangkutan, kemudahan penyimpanan, kualiti penyelidikan dan aktiviti hiliran.

“Di pentas global, FEPO yang akan diperdagangkan oleh peserta antarabangsa, akan berfungsi sebagai platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah serta menarik pelaburan langsung asing.

“Saya berasa bangga apabila mengetahui bahawa BMD telah menetapkan Lahad Datu dan Sandakan sebagai pusat penghantaran untuk FEPO,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan pelancaran FEFO hari ini.

Pelancaran yang berlangsung secara maya itu telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Hajiji serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata pelancaran itu adalah sejajar dengan perkembangan industri kelapa sawit Sabah pada masa hadapan,

“Kerajaan Sabah mengiktiraf industri minyak sawit sebagai bahagian utama ekonomi negeri dan ingin memperluaskan sumbangannya.

“Oleh itu, dua Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) iaitu POIC Lahad Datu dan POIC Sawit, dibangunkan untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang industri kelapa sawit di Sabah.

“Saya meramalkan FEPO akan memainkan peranan penting untuk kemajuan industri kelapa sawit di Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berkata POIC Lahad Datu yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri, meliputi 4,400 ekar untuk industri ringan, sederhana dan berat serta dilengkapi dengan kemudahan set pelabuhan yang komprehensif masing-masing pelabuhan dilengkapi kargo pukal, kargo cecair termasuk kontena di pelabuhan yang dalam secara semula jadi yang dapat menampung kapal kargo besar.

“POIC Sawit pula, yang dikendalikan oleh cabang pelaburan minyak sawit kerajaan negeri iaitu Sawit Kinabalu Sdn Bhd terletak di kawasan seluas 2.810 ekar di Sandakan dan telah dibangunkan untuk memacu pelaburan dalam industri hiliran minyak sawit.

“Kedua-dua POIC ini dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan juga berhampiran dengan wilayah yang kaya sumber di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA),” tambahnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *