Kerajaan rangka Dasar Tenaga Negara 2021-2040, jamin bekalan tenaga

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta beberapa pihak berkepentingan lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara 2021-2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dasar ini bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan keadilan sosial, serta memastikan kelestarian alam sekitar.

“Sekuriti tenaga mempunyai banyak aspek. Ini termasuk keselamatan bekalan tenaga jangka panjang untuk menyediakan tenaga selaras dengan perkembangan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Manakala sekuriti tenaga bagi jangka pendek merujuk kepada kemampuan sistem tenaga untuk segera bertindak balas terhadap perubahan mendadak dalam keseimbangan penawaran dan permintaan,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai keadaan sekuriti tenaga di Malaysia ketika berlakunya krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.

Mustapa berkata berdasarkan definisi Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), sekuriti tenaga bermaksud ketersediaan bekalan tenaga tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.

Beliau berkata justeru, pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai masalah bekalan tenaga seperti yang berlaku di Eropah, China dan India.

Sekuriti tenaga amat penting bagi sesebuah negara oleh itu, kerajaan melalui EPU, KeTSA dan agensi seperti Suruhanjaya Tenaga serta Petronas dan Tenaga Nasional Bhd sentiasa melaksanakan langkah yang bersesuaian untuk memastikan sekuriti tenaga negara terjamin pada setiap masa, katanya.

Beliau berkata krisis yang berlaku di China, Eropah dan India, antara lain disebabkan oleh peningkatan permintaan ke atas gas asli bagi menghadapi musim sejuk, dan kenaikan mendadak harga gas asli dan arang batu.

“Sebagai contoh, harga arang batu pada awal 2021 adalah di sekitar US$80 satu tan, sekarang telah mencecah di sekitar US$200 satu tan pada Oktober 2021,” katanya.

Mustapa berkata Malaysia berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan, iaitu 47 peratus arang batu, 41 peratus gas asli dan 12 peratus oleh tenaga boleh baharu termasuk hidro.

“Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus. Kapasiti terpasang adalah kira-kira 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum kira-kira 19,000 megawatt,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan sentiasa mengkaji isu rasionalisasi subsidi minyak serta mengambil kira kepentingan pengguna bagi mengurangkan beban rakyat.

“Bagi tujuan mengadakan libat urus berkaitan rasionalisasi subsidi, kita akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan. Begitu juga dengan Dasar Tenaga Negara. Dasar ini juga hampir dua tahun dalam pertimbangan kerajaan.

“Kita ada beberapa perkara yang agak serius yang perlu diputuskan. Kita juga akan aturkan satu sesi libat urus (dengan blok pembangkang),” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *