RM260.65 Dana Jaminan Makanan dibelanjakan – Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Peruntukan bernilai RM260.65 juta daripada hampir RM488 juta di bawah pakej Inisiatif Dana Jaminan Makanan (DJM) sudah dibelanjakan, tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata baki peruntukan itu dijangka selesai dibelanjakan menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, katanya, sebanyak RM378.18 juta daripada RM417.3 juta di bawah peruntukan sama sudah dibelanjakan tahun lalu.

Beliau berkata, pakej DJM bertujuan menjamin bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi, menstabilkan harga produk pertanian serta meluas dan memperkukuh ruang pasaran sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Pelaksanaan DJM adalah pelengkap kepada pelbagai subsidi, insentif dan bantuan disediakan di bawah MAFI kepada golongan sasar iaitu pesawah, petani, penternak, nelayan serta pengusaha pertanian.

“Bagi pelaksanaan tahun lalu, seramai 198,000 individu atau persatuan menerima bantuan di bawah Pakej PRIHATIN 2020, manakala 32,000 individu atau persatuan menerima pakej bantuan secara langsung di bawah Pakej PENJANA 2020.

“Penerima manfaat ini dijangka akan meningkat setelah pelaksanaan inisiatif DJM ini selesai sepenuhnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen BERSATU Beluran.

Beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (PEJUANG-Kubang Pasu) mengenai dana dibelanjakan dan sektor yang mendapat manfaat, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald berkata, pelaksanaan DJM merangkumi empat fasa yang disesuaikan dengan pelaksanaan pelan pemulihan negara, membabitkan dana keseluruhan bernilai RM905.3 juta.

Ia membabitkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN 2020) bernilai RM190 juta; Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara 2020 (PENJANA 2020) bernilai RM227.32 juta; PENJANA 2021 (RM150 juta) dan DJM 2021 (RM338 juta).

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *