Insiden tembakan: TUDM kemas kini SOP kendalian senjata

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menambah baik dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) pengendalian dan pengurusan senjata susulan insiden tembakan membabitkan empat anggotanya di Kem TUDM, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak pada 13 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata perkara itu antara elemen yang dikaji dan disiasat Lembaga Penyiasatan yang ditubuhkan TUDM bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Ikmal Hisham berkata insiden itu adalah kes yang terpencil kerana dalam situasi latihan atau urusan melibatkan senjata api, ia tak boleh diambil atau digunakan sewenang-sewangnya.

“Apa yang berlaku itu (tembakan) adalah amat dikesali dan tidak dijangka…insya-Allah, Panglima TUDM (Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad) akan memaklumkan hasil siasatan lembaga berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai langkah kementerian untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Ikmal Hisham berkata kementerian turut menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling untuk semua anggotanya sejajar keperluan ATM mencegah isu tekanan mental yang boleh menjejaskan kesiapsiagaan mereka termasuk pihak yang terlibat dalam insiden itu.

“Insiden berkenaan juga sememangnya memberi kesan trauma kepada anggota pasukan itu dan keluarga anggota terlibat.

“Pasukan psikologi dan kaunseling yang dihantar TUDM amat membantu menenangkan mereka dan ahli keluarga terlibat. Sehingga kini, pemantauan secara berkala masih dilakukan.” katanya menjawab soalan asal Rubiah berhubung usaha memastikan tahap kesihatan mental anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik.

Dalam insiden yang berlaku 7.50 pagi 13 Ogos, empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *