Tidak ada parti jadi ‘king maker’ dalam PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Tidak ada parti yang akan menjadi ‘king maker’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Ini kerana, kata Hishamuddin, rakyat telah menilai dan tahu siapa yang jadi penyelamat tatkala negara berdepan dengan wabak pandemik COVID-19 selama beberapa fasa.

“Rakyat telah menilai dan akan menjadi penentu.

“Kita telah lalui pandemik COVID-19 serta kelembapan ekonomi selama beberapa fasa.

“Justeru rakyat tahu siapa penyelamat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 dan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *