Hentikan politik tradisional demi rakyat

KOTA TINGGI, 8 Okt — Pergolakan politik tidak seharusnya berlaku dalam keadaan negara sedang bergerak ke fasa pemulihan daripada wabak Covid-19 kerana pada akhirnya rakyat yang akan kecewa.

Ketua Bahagian BERSATU Kota Tinggi, Rasman Ithnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, politik yang tidak stabil dan bercelaru akan merencatkan pemulihan yang sedang berlaku di negara ini.

“Kita masih lagi berdepan dengan isu Covid-19 yang menjadi keutamaan dalam keadaan krisis ekonomi, pekerjaan, sekarang pula proses untuk pelajar kembali ke sekolah dan bila politik tidak stabil serta bercelaru akhirnya rakyat yang akan kecewa.

“Sekarang adalah masa untuk gencatan politik yang bertujuan untuk stabilkan negara dan meletakkan politik di belakang sekali gus mengutamakan masalah rakyat yang hilang kerja, perniagaan yang jatuh bahkan dalam keadaan sekarang politik bukanlah keutamaan.

“Perkara yang utama adalah apa rakyat hendak makan, anak hendak ke sekolah dan faktor pendapatan mereka. Kalau politik diletak sebagai nombor satu, politik bukan boleh dibuat makan,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Edaran Barang Basah Secara Pandu Lalu, Jom Ambil! di tapak pasar malam Tanjung Sedili, pada Khamis.

Tambah Rasman, ahli politik kini tidak boleh mengikut sistem politik tradisional sebaliknya masuk ke arena politik moden yang mana ada masanya perlu bersama pihak lawan dan ada ketikanya perlu bersatu.

Beliau mengulas pergolakan politik yang berlaku di Melaka selepas empat ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut mengumumkan pembubaran DUN selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Dalam pada itu, Rasman berkata, melalui program dianjurkan itu, sebanyak 1,000 ekor ayam, satu tan ikan dan satu tan sayur yang disumbangkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di setiap bahagian diedarkan secara percuma buat penduduk.

Katanya usaha dilakukan Presiden itu bertujuan untuk membantu rakyat dan amat bertepatan serta memahami dengan situasi mereka di akar umbi yang kini sedang kesempitan ekoran Covid-19 yang melanda.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *