Contohi usaha BERSATU Balik Pulau, wujudkan ‘call center’ siap siaga PRU15

BALIK PULAU, 5 Dis — Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan memuji usaha awal yang dibuat BERSATU Bahagian Balik Pulau yang mewujudkan ‘call center’ di kawasan itu, sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wan Saiful berkata ‘call center’ yang beroperasi awal boleh berperanan untuk mengenal pasti sentimen di sesuatu kawasan mengenai parti dan pemimpin parti.

“Jika Call Center hanya diwujudkan apabila terlalu hampir dengan pilihan raya, maka kita akan menghadapi masalah. Kadang-kadang tak cukup jentera tempatan, kadang-kadang jentera pula tak sempat untuk dilatih.

“Tambahan lagi, apabila terlalu dekat pilihan raya, maka peranan call center hanyalah untuk mengenal pasti jika pengundi telah membuat pilihan, bukan lagi untuk mengukur sentimen setempat. Sedangkan untuk memastikan gerak kerja kita lebih berkesan, kita amat perlu kefahaman lebih awal mengenai sentimen setempat. Sebab itulah Call Center perlu bermula sekarang sebelum pilihan raya diumum,” kata Wan Saiful ketika merasmikan Kursus Hubungan Pengundi (Call Center) anjuran BERSATU Bahagian Balik Pulau pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau Zolkifly Md Lazim.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut menggesa agar usaha itu dijadikan contoh kepada semua yang lain.

Ini kerana, katanya, ia sejajar dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada pemimpin Bahagian dan Cawangan bagi menghidupkan aktiviti parti.

“Saya seronok bila melihat di sini orang tak tunggu idea apa nak buat. Buat sendiri kursus yang diperlukan. Jangan kita menunggu sahaja tetapi kita mesti proaktif.

“Jadi, contoh yang ditunjukkan Bahagian Balik Pulau saya puji dan saya harap jadi contoh kepada semua yang lain,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *