Mara cadang kokurikulum baharu di MRSM, lahir pelajar miliki sahsiah baik

SEREMBAN, 17 Dis – Program kokurikulum baharu dicadang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah dan jati diri yang baik selain cemerlang dalam akademik.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, cadangan itu telah dibincangkan oleh pihaknya dengan Badan Pemuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) semalam.

Jelas beliau, perkara itu juga sebagai langkah untuk membendung masalah buli dalam kalangan pelajar khususnya di MRSM.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian serius supaya kes seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.

“Perbincangan dengan badan Muafakat telah diadakan semalam dan ia akan dilihat secara mendalam tentang kaedah terbaik bagi mengurangkan atau menangani kes buli ini.

“Kami bercadang memperkenalkan program kokurikulum yang sesuai bagi memastikan pelajar ini bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang dari segi jati diri dan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian pembiayaan kepada lima orang usahawan dan merasmikan Outlet Usahawan Automatif Mara-Petronas (PUMP) di Ozi Holding, Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Azizah dalam pada itu menambah, Mara akan terus mengambil langkah proaktif dan mencari jalan supaya pelajar di MRSM sentiasa mempunyai kepribadian yang baik.

“Selain itu, tindakan kaunseling juga akan terus diberikan kepada pelajar yang menjadi mangsa kes buli berkenaan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *