80 peratus air banjir Taman Sri Muda disedut keluar

SHAH ALAM, 21 Dis – Kira-kira 80 peratus air banjir berjaya disedut keluar di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, dengan menggunakan pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata proses mengeluarkan air banjir bermula jam 2 tadi menggunakan sebanyak 16 pam air.

Beliau berkata, kerja menyedut air sedang giat dilakukan dengan menggunakan kemudahan dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandangkan kawasan itu tiada bekalan elektrik ketika ini.

“Semua air banjir berjaya disedut keluar dan dibuang ke Sungai Klang dan dijangka dapat dikeringkan dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini, ketinggian air di kawasan ini sekitar satu meter, tetapi sejak jam 2 pagi tadi air dipam dan mulai surut hingga 0.3 meter. Setakat ini, lebih 80 peratus air di taman ini sudah dipam keluar dan apabila kering nanti penduduk boleh mula mencuci rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Operasi Bencana Seksyen 25, Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Abdul Latiff berkata, secara keseluruhan sebanyak 24 mesin pam air disediakan, bagaimanapun lapan lagi peralatan itu belum diaktifkan.

“Semua 16 pam ini diletakkan di lima lokasi sekitar Taman Sri Muda sejak jam 2 pagi tadi.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberi tempoh khusus bila air banjir dapat disedut sepenuhnya memandangkan pelbagai faktor perlu diambil kira terutama cuaca,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *