Malaysia seru OIC cari jalan ‘cair’ RM38 bilion rizab Afghanistan

PUTRAJAYA, 21 Dis – Kerajaan Malaysia menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencari jalan ‘mencairkan’ lebih AS$9 bilion (kira-kira RM38 bilion) rizab milik Afghanistan yang dibekukan.

Pandangan tersebut disuarakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika berucap pada Sesi Luar Biasa Ke-17 Majlis Menteri Luar OIC di Islamabad, Pakistan lewat kelmarin.

“OIC wajar cari penyelesaian untuk ‘membebaskan’ rizab ini yang dibekukan pelbagai badan sejagat demi kepentingan rakyat Afghanistan sendiri,” katanya pada persidangan berkenaan.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat khas OIC tersebut yang didahului dengan Mesyuarat Para Pegawai Kanan dari kesemua 57 negara anggotanya sehari sebelumnya itu.

Sesi tergempar berkenaan atas permintaan Arab Saudi sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC untuk mengadakan perbincangan berhubung situasi kemanusiaan di Afghanistan.

Ia ekoran kejatuhan negara itu yang kembali ditawan semula oleh Taliban pada 15 Ogos lalu setelah tentera asing dipimpin Amerika Syarikat berundur sejak menceroboh pada 2001 lepas.

Saifuddin berkata, OIC turut perlu segera bertindak merapatkan jurang besar dalam usaha tindak misi kemanusiaan antarabangsa ke negara rantau Asia Tengah tersebut.

“Kami juga menyokong Pakistan bagi dibentuk satu sistem atau mekanisme untuk pengurusan dan penyelarasan segala usaha kemanusiaan global di seluruh Afghanistan. Pada masa sama Malaysia mengalu-alukan ikrar dijanjikan banyak negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedia menderma lebih AS$1.2 bilion (kira-kira RM5 bilion).

“Contoh usaha dilakukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang sudah ‘turun padang’ melakukan apa termampu untuk meringankan beban Afghanistan. Bahkan kerajaan Malaysia secara dasarnya juga menggalakkan syarikat Malaysia untuk mencari peluang perniagaan dan meneroka potensi peluang pelaburan besar di negara itu.

“Usaha kemanusiaan dan pembangunan semula Afghanistan pada akhirnya wajar kembali diterajui oleh masyarakat negara tersebut sendiri apabila tiba masanya yang sesuai. Malaysia komited bantu membina kapasiti teknikal melalui program kerjasama kami yang seterusnya boleh dilakukan bersama dengan negara-negara anggota OIC lain,” tambahnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *