Banjir: Koordinasi sudah mula ada cuma belum menyeluruh – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Proses penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir kelihatan sudah ada penambahbaikan dari segi operasi koordinasi, namun ia belum menyeluruh.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata terdapat aduan daripada mangsa banjir yang tertanya-tanya keberadaan agensi kerajaan ketika Skuad PTPTN turun padang membantu mereka di Hulu Langat, pada Isnin lalu.

Wan Saiful berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti lebih aktif dalam mengepalai koordinasi operasi bantuan ini.

“Cuma saya rasa sekarang ini yang paling penting ialah koordinasi antara agensi untuk memastikan proses penyampaian bantuan menjadi lebih tersusun. Walaupun Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah wujud, koordinasi yang baik masih belum menyeluruh.

“Perdana Menteri sendiri mesti lebih aktif dalam mengepalai koordinasi operasi bantuan ini. Bencana ini adalah bencana yang besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletak di atas bahu Perdana Menteri.

“Pastikan pihak bomba (KPKT), tentera (MINDEF), Angkatan Pertahan Awam (JPM) dan semua agensi terbabit bergerak secara tersusun supaya proses bantuan dan pembersihan tidak bertindan dan semua yang terkesan akan dapat dibantu.

“Bagaimanapun, saya lihat hari ini ada sedikit penambahbaikan. Dua hari lepas semasa saya dan Skuad PTPTN Prihatin mula membantu di Hulu Langat, saya lihat koordinasi amat lemah dan mangsa banjir ramai yang tertanya-tanya mana agensi kerajaan. Tetapi pagi ini apabila Skuad PTPTN Prihatin sekali lagi turun padang, sudah kelihatan kenderaan pelbagai agensi dan koordinasi pun sudah mula ada.

“Alhamdulillah. Penambahbaikan sudah mula kelihatan. Cuma saya rasa ia belum menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful memuji sikap orang awam, NGO, pemimpin kerajaan dan ahli politik turun padang membantu rakyat yang terkesan akibat banjir yang melanda.

“Alhamdulillah ini semuanya bagus. Kita semua ada tanggungjawab menjaga nasib sesama kita,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *