Rina tak sangka netizen lebih gemarkan kasutnya

SEPANG, 23 Dis – Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyifatkan, nyawa mangsa-mangsa banjir perlu diutamakan berbanding isu kasut tumit tinggi yang dipakainya ketika hadir mengadakan tinjauan dan menyerahkan bantuan sehingga menjadi bualan warganet.

Menurutnya, apa yang berlegar difikirannya hanya keselamatan mangsa banjir sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai bencana itu yang pada ketika itu beliau menghadiri Perhimpunan Agung BERSATU.

Rina menjelaskan, beliau tidak terfikir untuk menukar kasut dan hanya sempat menukar baju sebelum ke lokasi kejadian.

“Ketika itu (19 Disember) adalah Hari Perhimpunan Agung BERSATU dan saya selaku Ketua Srikandi turut hadir pada perhimpunan tersebut. Ketika perhimpunan saya mendapat banyak pesanan banyak kawasan yang dilanda banjir, ketika itu fikiran saya terjejas dan tidak senang duduk memikirkan masalah tersebut.

“Jadi saya mohon izin dengan Presiden selepas habis ucapan untuk keluar dan bergegas meninjau situasi mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat perpindahan sementara (PPS) Kota Warisan, di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, di sini hari ini.

Rina berkata, netizen seharusnya melihat keberadaannya di lokasi bagi menyalurkan bantuan segera yang diperlukan mangsa dan bukannya kasut yang menjadi pertikaian dan viral.

“Tak sangka kasut saya adalah lebih penting untuk difikirkan daripada saya berada di sana, saya minta maaf, saya berlari dari perhimpunan semata-mata ingin ke sana dan hanya sempat tukar baju serta seluar. Saya berjanji akan memperbaiki kelemahan yang ada pada diri,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Rina turut menjelaskan isu gambar dirinya dalam satu poster bagi majlis sumbangan banjir Keluarga Malaysia yang dipercayai di sebuah hotel.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menjelaskan, dia tiada kaitan langsung dengan majlis yang dinyatakan tersebut dan kehadirannya ke hotel berkenaan semata-mata untuk menerima sumbangan makanan dan kewangan dari syarikat swasta untuk mangsa-mangsa banjir.

“Program yang sebenar adalah saya menerima bantuan makanan 1,000 bungkusan yang dimasak di hotel tersebut untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir serta sumbangan kewangan sebanyak RM150,000.

“Adakah saya salah kalau saya hadir ke program tersebut untuk menerima bantuan dan menyalurkan kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *