Jangan disebabkan ‘perangai lama’ kamu, nama semua orang rosak – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 24 Dis – “Cukup menjengkelkan apabila seorang Menteri Persekutuan dan seorang Menteri Besar dari negeri yang sama bertelagah mengenai siapa jadi Pengerusi.”

Itu reaksi Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mengulas isu pertelagahan antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung mendapat panggilan untuk mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor ekoran bencana banjir di negeri tersebut.

Sambil memberi contoh beberapa NGO dan orang awam yang berterus membantu rakyat, kata Wan Saiful, tiada siapapun di kalangan mereka bertelagah untuk menjadi ketua.

“Agak-agak, rakyat peduli ke siapa Pengerusi? Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai?

“Cuba ambil contoh dari sebegitu banyak NGO dan orang awam yang berterusan membantu rakyat. Sepanjang saya membersihkan rumah-rumah minggu ini, saya sendiri nampak team Ustaz Ebit Liew, team dari Naelofar, team dari Dana Kita, Unit Amal PAS, Skuad Prihatin BERSATU, sukarelawan parti MUDA, persatuan penduduk, dan banyak lagi NGO yang bertungkus lumus bekerja.

“Tak ada seorang pun di kalangan kami bertelagah siapa nak jadi ketua. Kita semua saling bantu membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita,” katanya yang berkongsi tangkap layar dua tajuk berita di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menasihatkan agar orang politik berhenti untuk membawa ‘perangai lama’ seperti berebut jawatan, yang memberi kesan kepada kemarahan rakyat terhadap semua ahli politik.

“Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa “perangai lama” ni supaya sudah sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah. Dan disebabkan kamu tamak berebut jawatan, habis semua orang politik tercemar sama. Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu.

“Jangan disebabkan “perangai lama” kamu, nama semua orang rosak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Bermuafakatlah. Rakyat mahu kita buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *