BERSATU diseru perkukuh organisasi setempat, suburkan budaya khidmat

KUALA LUMPUR, 1 Jan – BERSATU diseru menjadikan tahun 2022 sebagai tahun untuk mempamerkan kebolehan parti menjadi alternatif yang jelas untuk dipilih oleh rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata proses itu mestilah bermula dengan penyusunan saf dan pembaikan kualiti kerja dalam pengukuhan organisasi setempat.

“Ketersusunan dalam berorganisasi – di semua peringkat parti – mesti menjadi sama hebat dengan semangat yang memacu kerja kita dalam BERSATU sejak lima tahun lalu.

“Masa untuk ujian sebenar semakin hampir. Hari ini sudah masuk tahun 2022. Jika pengukuhan organisasi setempat belum dimulakan, hari inilah sepatutnya kita bermula!” katanya dalam kenyataan Tahun Baru 2022 hari ini.

Wan Saiful melahirkan rasa bersyukur apabila Malaysia sudah mula bergerak keluar daripada krisis COVID-19, berkat kecekalan rakyat dan hasil usaha gigih petugas-petugas barisan hadapan negara.

“Ternyata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuahkan hasil.

“Kita turut mendoakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi kekuatan untuk meneruskan legasi memacu Malaysia ke arah yang berdaya saing dan makmur,” katanya.

Katanya, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini menunjukkan betapa perlunya seluruh segmen rakyat bergerak bersama-sama dalam membina negara.

“Kesatuan inilah yang akan membolehkan kita bersama-sama membangunkan negara.

“Contohnya dalam menangani bencana banjir, yang terkehadapan adalah individu-individu serta NGO-NGO dari seluruh negara, di samping semua petugas daripada pelbagai agensi. Mereka adalah wira-wira yang tidak didendang, membanting tulang setiap hari membantu rakyat. Mereka menunjukkan contoh murni untuk kita teladani. Budaya khidmat ini mesti terus disuburkan agar mengakar sebagai cara hidup kita,” jelasnya.

Mengulas mengenai budaya khidmat, Wan Saiful berkata BERSATU mempunyai sejarah yang unik di mana ia ditubuhkan atas semangat reformasi institusi sambil mahu mengekalkan susunan asas fabrik negara agar kestabilan dapat dijaga.

Ini kerana, katanya, budaya politik khidmat, politik integriti, politik amanah, dan politik bermaruah itu terus membara hingga hari ini.

“Dalam kita bersemangat memperjuangkan agenda yang suci, penting juga kita ingat kepada satu nukilan yang diinspirasikan daripada pesanan Saidina Ali k.w. iaitu:
“kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.”

“Itulah hakikatnya. Tak kira sesuci mana sekalipun mesej yang kita bawa. Tak kira seikhlas mana sekalipun niat perjuangan kita.

“Jika kita tidak mengatur organisasi menjadi seumpama bangunan yang tersusun rapi, maka biasanya yang menanti adalah kekalahan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *