Pemimpin tertentu dalam UMNO sengaja politikkan isu i-Citra

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Pemimpin tertentu dalam UMNO didakwa sengaja mempolitikkan isu pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertujuan untuk menggugat kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada parti mereka sendiri.

Ketua Penerangan BERSATU Johor Mohd. Solihan Badri berkata, mereka juga memutar belit kenyataan dengan menuduh BERSATU yang sengaja melakukan sabotaj.

“Dengan satu jari Pemuda UMNO menuding ke arah BERSATU, ada empat lagi jari yang menuding ke arah diri mereka sendiri.

“BERSATU amat kesal dengan tuduhan Pemuda UMNO dan ia berniat jahat bukan sahaja terhadap BERSATU malah Kabinet Malaysia yang diketuai Perdana Menteri daripada UMNO sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran satu kenyataan dikeluarkan Pemuda UMNO yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak pengeluaran i-Citra kerana mengikut telunjuk BERSATU.

Justeru itu, Mohd. Solihan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang menegaskan tindakan Pemuda UMNO itu berniat jahat dan bertujuan untuk memburukkan imej Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Ismail Sabri sendiri.

Tambahnya, Muhyiddin telah melakukan pelbagai tindakan, usaha dan pelan bagi memulihkan kehidupan rakyat selain menggerakkan komuniti perniagaan dan ekonomi.

“Beliau juga telah melakukan tindakan tepat bagi membendung pandemik Covid-19 yang telah meruntuhkan sistem keselamatan kesihatan dan hampir melumpuhkan kehidupan global sejak dua tahun lalu.

“Saya kesal dengan Pemuda UMNO yang terus mempolitikkan isu pengeluaran RM10,000 daripada caruman KWSP. BERSATU bukan kemaruk dan menjadikan semua isu untuk memburukkan pihak lain.

“Tetapi kita lihat sendiri, siapa dalam kelompok pemimpin UMNO yang mempolitikkan isu i-Citra dan lain-lain perkara sehingga mengganggu-gugat kerajaan yang mana Perdana Menteri adalah pemimpin daripada UMNO sendiri,” ujarnya.

Mohd. Solihan turut berkata, dalam Kabinet yang diwakili menteri UMNO dan BERSATU, sebarang keputusan diambil adalah melalui mesyuarat yang seharusnya tidak timbul tuduhan menteri dari BERSATU yang membuat keputusan berkenaan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *