Armada Bersatu tuntut penjelasan Lim Guan Eng isu KVDT2

PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut penjelasan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kehilangan lebih RM1 bilion bagi projek menaik taraf infrastruktur dan sistem Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2).

Ketua Penerangannya, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pihaknya mendakwa berlaku ketirisan wang rakyat dalam projek rundingan terus itu.

Beliau berkata, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 19 September 2018 menjelaskan kepada Jemaah Menteri bahawa kos projek itu boleh dikurangkan antara RM3 hingga RM3.5 bilion.

“Berdasarkan penilaian pihak ketiga, kos bagi projek itu boleh dijimatkan sehingga maksimum RM3.5 bilion sekiranya ditender semula berbanding RM5.26 bilion yang diluluskan pada zaman Barisan Nasional (BN).

“Namun pada 5 Julai 2019, kerajaan terdahulu memutuskan untuk meneruskan projek KVDT 2 kepada kontraktor Dhaya Maju – LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) dengan kos RM4.475 bilion, termasuk pengurangan skop kerja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pihaknya mahu Guan Eng menjelaskan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami ingin mempersoalkan kemana hilangnya RM1 bilion wang rakyat sedangkan mengikut penilaian asal kos projek itu dapat dilaksanakan dengan kos RM3.5 bilion,” katanya.

–K! ONLINE

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *