PTPTN bantu pendidikan asnaf di Selangor

Shah Alam: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM96,500 bagi membantu golongan asnaf di Selangor menerusi pengagihan wakalah zakat PTPTN.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pengagihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi menerusi program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Katanya, dua program bakal dilaksanakan iaitu Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) dengan peruntukan RM50,000 kepada 500 orang anak-anak asnaf yang masing-masing akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100 setiap seorang.

“Program kedua membabitkan pembangunan pendidikan pelajar asnaf Bait Al-Hasanah yang mana seramai 155 pelajar akan menerima simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap seorang dengan baki pecahan peruntukan sebanyak RM46,500.

“PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses yang terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan tidak ada yang tercicir dalam pendidikan akibat masalah kewangan.

“Diharapkan dengan sumbangan kepada anak-anak asnaf ini, dapat menjadi pendorong kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam hidup sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam kenyataan bersama LZS, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata, program Kasihku Zakat Selangor diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

“Melalui program ini, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS.

“Sehingga November 2020, sebanyak 30 syarikat menyertai Kasihku Zakat Selangor dan bersama-sama LZS menyantuni asnaf melalui pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam suasana pandemik Covid-19, LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat pengeluar zakat di luar sana demi menyantuni kelangsungan asnaf.

“LZS mengucapkan terima kasih kepada PTPTN iaitu agensi tabung pendidikan utama negara kerana bersama-sama LZS dalam membantu meningkatkan serta membangunkan kualiti pendidikan untuk anak-anak asnaf yang sememangnya memerlukan bantuan.

“Jalinan kerjasama di antara PTPTN dan LZS diharap bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada anak-anak asnaf di negeri ini malah mampu mengurangkan beban kemiskinan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *