PTPTN capai deposit SSPN RM1.3b

SEREMBAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencapai 87.05 peratus atau RM1.3 bilion jumlah deposit bagi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) daripada sasaran RM1.5 bilion yang ditetapkan tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah deposit RM1.3 bilion itu dicatatkan setakat 30 November lalu dan pihaknya yakin sasaran ditetapkan PTPTN pada tahun ini dapat dicapai menjelang hari-hari terakhir sebelum menginjak ke tahun baharu.

“Jumlah deposit (RM1.3 bilion) ini juga meningkat sebanyak 63 peratus berbanding RM800.84 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Secara keseluruhan, sehingga 30 November 2020, sebanyak 4.77 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit yang diterima berjumlah RM7.19 bilion,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Bantuan Persekolahan 2021 di Senawang, dekat sini hari ini.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada 410 pelajar daripada keluarga B40 sekitar Negeri Sembilan sempena program tersebut yang dianjuran PTPTN serta Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Negeri Sembilan.

PTPTN menyampaikan bantuan persekolahan berjumlah RM41,000 di mana setiap pelajar menerima bantuan bernilai RM100 iaitu RM80 dalam bentuk baucar pasar raya Mydin untuk kelengkapan persekolahan manakala RM20 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN  menjangkakan jumlah akaun baharu SSPN meningkat tahun depan dengan pelbagai promosi ditawarkan selain menggalakkan ibu bapa menabung demi masa depan anak-anak.

“Bagi tempoh Januari sehingga 30 November 2020, sebanyak 385,288 akaun SSPN dibuka iaitu 96.32 peratus daripada sasaran 400,000 akaun baharu pada tahun 2020.

“Pegawai kami bergerak ke seluruh negara bagi meneruskan aktiviti berkempen bagi menggalakkan ibu bapa menabung, sambutan dan sokongan yang diberikan amat baik,” katanya.

Beliau juga berharap kadar dividen yang ditawarkan oleh SSPN kekal kompetitif berbanding institusi kewangan lain.

“Pada 2019, kadar dividen yang diberikan adalah kompetitif iaitu empat peratus dan saya berpandangan keuntungan diperoleh perlu dikongsikan dengan rakyat supaya mereka juga mendapat manfaat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *