Tidak pujuk ahli UMNO sertai Bersatu – Hamzah

LARUT: Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memujuk ahli UMNO untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sesiapa pun boleh menyertai parti itu kerana Bersatu masih di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu tidak pujuk orang (UMNO) untuk masuk sini, saya katakan, sesiapa nak sertai kami, silakan, sama ada mereka hendak atau tidak itu terpulang.

“Apa pun kita masih di bawah satu bumbung dalam kerajaan PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penubuhan dan Penyerahan Borang Keahlian Cawangan-Cawangan Baharu Bersatu Bahagian Larut di Kampung Sungai Akar, Batu Kurau, di sini hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata, Bersatu menyasarkan sejuta keahlian dan 8,000 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan untuk mengukuhkan kedudukan akar umbi parti itu.

Menurutnya, jika perkara itu dapat dilakukan, Bersatu tidak lagi akan dianggap sebagai parti yang lemah dan tidak mempunyai jentera.

Beliau berkata, Bersatu kini mempunyai 600,000 keahlian dan terus menerima banyak permohonan untuk penubuhan cawangan baharu.

“Sebelum ini bukannya kita tidak menerima permohonan keahlian tapi kita tunggu sehingga selesai Perhimpunan Agung Tahunan yang diadakan pada bulan lalu.

“Kalau kita terima keahlian baharu sebelum Perhimpunan Agung, ia boleh mengganggu perjalanan mesyuarat atau akan ada pelbagai rungutan semasa perhimpunan.

“Jadi, selepas Perhimpunan Agung, strateginya mulai bulan ini semua bahagian seluruh negara akan mula menerima ahli baharu malah jika tidak disebabkan Covid-19, mungkin kita dapat mencapai sasaran sejuta ahli,” katanya.

Hamzah berkata, selain di Larut, di beberapa negeri juga menubuhkan cawangan-cawangan baharu.

Menurutnya, Bersatu menerima banyak permohonan untuk menubuhkan cawangan yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap pemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu mengambil pendekatan berhemah untuk pastikan semea rakyat diberikan keadilan,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *