Rumah mangsa banjir di Raub musnah

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Penduduk daerah Raub merayu bantuan keperluan asas pada kadar segera setelah kediaman mereka musnah 100 peratus manakala sebahagian lagi hanyut dilanda banjir.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Raub, Pahang,  Dato’ Mohd Fakrunizam Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya menggunakan dana peribadi dan sumbangan bagi membeli keperluan asas tersebut khususnya kalangan penduduk luar bandar serta pedalaman yang tiada akses untuk penghantaran bantuan.

“Antara bantuan yang kami salurkan adalah bahan asas makanan seperti beras, mi segera, roti dan biskut selain lampin pakai buang bayi, pakaian serta susu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir turut memerlukan bantuan seperti selimut, bantal, tilam dan pakaian.

“Saya dimaklumkan kira-kira 85 peratus rumah penduduk di sini rosak teruk atau musnah sama sekali. Saya juga mendapat maklumat, sekurang-kurangnya 11 rumah lain telah hanyut banjir,” katanya.

Penduduk terlibat, tambah Dato’ Mohd Fakrunizam, turut memerlukan bantuan untuk mencuci kediaman setelah air banjir surut kelak.

“Rumah yang rosak perlu dicuci dan dibaiki segera sebelum mangsa pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu Raub telah memohon bantuan sukarelawan dari Bersatu Bukit Bintang dan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur. Yang terkini, Srikandi Bentong telah turun padang untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Yang DiPertua Pas Raub, Dr Mohamed Nilam memberitahu BERSATU.COM bahawa kebanyakan mangsa di Raub menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih.

“Kami merayu mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan untuk membawa bantuan bekalan air bersih atau air minuman untuk mangsa banjir di sini,” katanya ketika dihubungi.

Dr Nilam yang turut membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir berkata, bantuan makanan kering seperti roti, biskut dan mi segera amat penting pada waktu ini kerana penduduk tidak ada perkakasan memasak.

“Dapur, periuk dan peralatan kebanyakannya telah rosak atau hanyut. Jadi jika mereka mendapat bantuan beras, ini akan menyukarkan mereka untuk memasak kerana ketiadaan perkakasan dapur buat masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata, penduduk terlibat memerlukan telekung dan sejadah untuk menunaikan solat selain kain batik dan kain pelikat.

Tambah beliau, di Kampung Sega di sini, terdapat tiga rumah dihanyutkan banjir.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *