Jangan Hala Senjata Kepada Diri Dan Ahli-ahli Parti Sendiri – Wan Saiful

wan-saiful
MELAKA 10 Jan –  Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) digesa merenung kembali  agenda utama penubuhan BERSATU iaitu antaranya ialah untuk membela nasib rakyat, memberi khidmat terbaik kepada rakyat  dan bukannya merebut jawatan dalam politik.
Gesaan oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Wan Saiful Wan Jan itu dilontarkan dalam majlis Perjumpaan dan Penerangan Isu Semasa Bersama Ketua Penerangan BERSATU Malaysia di Ayer Keroh di sini.
Menurut Wan Saiful, ahli-ahli BERSATU harus ingat dan sedar bahawa musuh utama mereka bukannya dalam kalangan ahli-ahli parti itu.
“Musuh kita bukan antara kita…tidak guna kita bergaduh sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada perpecahan.
“Jangan kita hala senjata kepada ahli-ahli kita yang akhirnya merugikan parti,” katanya.
Majlis perjumpaan itu turut dihadiri Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudi, Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka, Dato’ Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof.
Hadir pada majlis itu termasuk Ketua-Ketua Penerangan Negeri Melaka, Srikandi dan Armada. Pada majlis yang sama, sejumlah naskah al-Quran diserahkan kepada para hadirin. Wan Saiful menambah, BERSATU telah menunjukkan kejayaan serta pencapaiannya setelah empat tahun penubuhannya dengan keahlian kira-kira 600,000 orang.
“Insya Allah dalam beberapa bulan akan datang jumlah keahlian kita mencapai kira-kira 900,000 orang. Ini satu pencapaian yang besar, kita patut berbangga dengan BERSATU,” katanya.
Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *