1. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk darurat diisytiharkan hari ini. Sesungguhnya pengisytiharan ini adalah lambang keprihatinan Baginda terhadap musibah yang melanda rakyat dan kebijaksanaan Baginda dalam mencari jalan penyelesaian yang proaktif terhadap krisis pandemik COVID-19 ini.
2. Seluruh saf kepimpinan dan ahli-ahli BERSATU menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memelihara kepentingan rakyat. BERSATU sedar bahawa keputusan ini bukan suatu perkara yang mudah dan ia hanya dilakukan setelah menimbang semua pandangan yang diterima, terutama nasihat-nasihat golongan profesional dan juga pandangan semua ahli Jemaah Menteri.
3. Jaminan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri bahawa kerajaan awam (civilian government) akan terus berfungsi dan proses perundangan pula akan terus berjalan seperti biasa seharusnya menenangkan semua rakyat. Kestabilan yang dihasilkan melalui pengisytiharan ini sudah pasti akan membolehkan sektor perniagaan meneruskan urusan mereka dan usaha menarik pelaburan demi menjana pertumbuhan ekonomi juga dapat berjalan dengan baik.
4. BERSATU mengajak rakyat keseluruhannnya untuk terus bersama-sama dengan kerajaan yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani krisis COVID-19 yang semakin meruncing. Semua perbezaan serta kepentingan politik atau peribadi harus diketepikan, dan keutamaan harus diberikan terhadap kesihatan serta kebajikan rakyat.
5. Oleh yang demikian, BERSATU menyifatkan pengisytiharan darurat ini adalah langkah yang tepat berdasarkan suasana semasa dan langkah ini hanya akan benarbenar berhasil dengan dokongan dan kesatuan rakyat yang tidak berbelah bahagi.
WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
12 Januari 2021, Petaling Jaya