PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangka terus berada dalam fasa pemulihan, demikian kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ini berdasarkan kepada Indeks Pelopor (IP) pada November lalu yang mencatatkan 109.1 mata iaitu meningkat 7.1 peratus dari November 2019.
Beliau berkata, IP juga merekodkan pertumbuhan 0.4 peratus pada November lalu, berbanding bulan sebelumnya.
“Walaupun IP menunjukkan peningkatan yang lebih baik, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermatlamat untuk mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi akan memberikan beberapa kesan terutamanya dari segi momentum pemulihan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, memandangkan PKP 2.0 sedang dilaksanakan hingga 4 Februari ini, implikasi berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam menjalankan perniagaan dan sekatan perjalanan antara negeri, berkemungkinan mempunyai kesan yang tidak diingini kepada ekonomi.
Bagaimanapun katanya, kerajaan telah mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat serta mengekalkan daya tahan ekonomi negara dalam mendepani penularan pandemik Covid-19.
“Pakej ini memperuntukkan sejumlah RM15 bilion yang mempunyai 22 inisiatif merentasi pelbagai sektor dengan objektif untuk memerangi pandemik Covid-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan dalam tempoh PKP,” katanya. – UTUSAN