Ambil tindakan pada yang cerca PM

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak-pihak yang dipercayai cybertrooper yang mencerca Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook Presiden Indonesia, Jokowi Widodo adalah satu perbuatan yang keterlaluan dan tidak patut dimaafkan.

Kebebasan ekspresi diri bukanlah satu kebebasan mutlak lebih-lebih lagi apabila mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata nista, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Beliau berkata, perbezaan parti politik bukan alat untuk menghalalkan perbuatan seperti itu lebih-lebih lagi terhadap kepimpinan negara.

“Negara kini sedang bergelut dengan pendemik Covid-19 dan di dalam usaha pihak kerajaan berusaha mengukuhkan ekonomi negara, tikam menikam sesama bangsa nampaknya tidak pernah reda.

“Ada pula pihak yang secara berterusan berusaha mencetuskan suasana tidak harmoni dan terus mengambil kesempatan dengan “lempar batu sembunyi tangan”, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, beliau merasa serangan yang dibuat di laman sosial itu dilakukan oleh pihak-pihak yang secara berterusan memberi tekanan kepada Perdana Menteri dan kali ini ia dilakukan dengan tujuan mahu memalukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pihak luar.

“Apa yang dilakukan oleh pihak terbabit sememangnya sudah melampau dan ia mencemar imej rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa yang tinggi.

“Mengapa mereka sanggup malukan pemimpin negara mereka sendiri. Sepatutnya dalam keadaan sukar ketika negara berdepan pandemik Covid-19, semua pihak harus memberi sokongan kepada pemimpin dan bukannya bertindak menghina seperi itu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sikap yang ditunjukkan oleh pihak-pihak terbabit sememangnya tidak boleh diterima dan harus dikecam kerana ia menampakkan satu perkara tidak elok pada pandangan orang luar.

Katanya, beliau kesal dan berharap “tangan-tangan ghaib” dan “api dalam sekam” ini di ambil tindakan agar tidak terus menerus merosakkan imej negara bangsa serta cubaan menjatuhkan pemimpin negara dengan cara yang keji.

Perkara sebegini tidak patut berulang dan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, tegasnya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku terbabit kerana telah menghina pemimpin negara secara terbuka.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) juga perlu bertindak terhadap perkara tersebut dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku kerana telah menyalahgunakan laman sosial dengan tujuan menghina dan mengaibkan pemimpin negara.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat bertindak segera kerana perbuatan menghina pemimpin negara merupakan satu tindakan biadab yang tidak boleh dimaafkan.

“Dalam hal ini pelaku wajar dikenakan tindakan yang setimpal dengan perbuatannya agar ia dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada diri pelaku itu sebaliknya turut memberi pengajaran kepada pihak lain, kerana di dalam membina negara bangsa, tegaknya bangsa kerana budi, runtuh budi rosaklah bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *