Assalamualaikum WBT,
Terlebih dahulu saya ingin menasihatkan diri saya sendiri, kaum keluarga saya serta rakan-rakan.
Apa yang saya hendak perkatakan ini tidak ada kaitan dengan kepentingan diri sendiri, mahupun menyebelahi atau menyokong mana-mana parti politik.
Akhir-akhir ini masyarakat kita banyak dikaitkan dengan fitnah mahupun berita-berita palsu terhadap pemimpin negara.
Saya berpandangan keadaan semasa ini iaitu penyebaran fitnah, kian parah jika kita tidak segera membendungnya.
Untuk membendungnya hanya diri kita sendiri atau diri masing-masing dapat melakukannya.
Pendapat yang saya luahkan ini kerana walaupun sudah banyak kali dinasihatkan, namun penyebaran fitnah dan berita palsu masih berterusan berlaku dan menular.
Perkembangan ini amat menyedihkan kerana pelbagai fitnah dilemparkan kepada kepemimpinan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dan banyak lagi.
Ingatlah bahawa fitnah itu betapa besar dosanya. Fitnah itu hanya semata-mata untuk mereka-rekakan berita atau cerita yang tidak benar.
Ingin saya sentuh surah Al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud: … “dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…’’
Juga surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.’’
Jika hendak dibincangkan mengenai dosa dan bahaya fitnah ini, memang terlalu panjang dan meluas.
Yang pasti, Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa fitnah itu amat besar dosanya.
Dalam keadaan negara yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 ini, fitnah masih berterusan berlaku terhadap pemimpin negara.
Para ulama negara ini pun berkali-kali menasihatkan rakyat termasuk ahli politik supaya menghindarkan fitnah. Jauhkan diri daripada fitnah.
Namun kita dapat lihat bahawa fitnah dan penularan berita-berita palsu ini berterusan berlaku walaupun para ulama dan ahli agama sudah mengingatkan semua pihak.
Salah satu sifat orang kita ialah lebih gemar dan suka mempercayai fitnah dan berita palsu. Mungkin ini kerana berita palsu dan fitnah itu bukan sahaja sensasi tapi juga `menyeronokkan’ kerana dapat mengaibkan seseorang. `Seronok’ mungkin sebab dapat menjatuhkan seseorang.
Apa yang berlaku akhir-akhir ini begitu menyedihkan walaupun nasihat demi nasihat diberikan termasuk daripada para mufti.
Dengan kata lain, fitnah dan berita palsu ini memang sukar untuk dihentikan. Orang yang buat fitnah terang-terangan tidak mahu mendengar nasihat para mufti supaya perbuatan itu dihentikan segera.
Sebab itu saya sekali ini menasihatkan diri saya, ahli keluarga serta rakan-rakan dan juga orang ramai, hentikan segera fitnah dan berita palsu ini.
Saya sedar bahawa, apabila nasihat ini diberikan, pasti ada yang `menyerang’ atau `menuduh’ saya yang bukan-bukan. Tapi biarlah, apa jua tuduhan yang hendak dilemparkan akan saya telan kerana saya memang terpanggil untuk menyentuh perkara mengenai fitnah ini.
Namun apa yang saya lakukan ini adalah satu kewajipan dan tanggungjawab untuk mengingatkan diri sendiri serta orang ramai iaitu “Hentikan fitnah.’’
Banyak langkah boleh dilakukan untuk menasihatkan orang ramai mengenai fitnah ini. Bagi saya, pihak berkuasa, kerajaan, NGO dan semua pihak termasuk ahli politik, sama-samalah kita menasihati orang-orang yang suka melemparkan fitnah ini supaya segera menghentikannya kerana diakhir hayat kita nanti, fitnah itu akan membawa bahana pada diri kita sendiri.
Oleh USTAZ MUHAMAD ABDULLAH AL-AMIN
Pengerusi Yayasan Al-Amin dan Penceramah Bertauliah