Penyertaan Parti Gerakan Bukti Perikatan Nasional (PN) Juarai Kemajmukan Negara

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Armada BERSATU Malaysia menyambut baik penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai salah satu rakan atau parti anggota Perikatan Nasional (PN) bermula 29 Januari lalu.

Penyertaan Gerakan itu diterima berdasarkan surat keanggotaan ahli PN dari Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Proses penerimaan ini kemudian termeterai secara rasmi hari ini sekembalinya Muhyiddin untuk melaksanakan tugas-tugas rutin seharian beliau setelah menjalani proses kuarantin dan bekerja dari rumah, sepanjang seminggu yang lalu.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu, penyertaan Gerakan yang diasaskan antaranya oleh Prof. Syed Hussein Alattas, Dr. Lim Chong Eu dan Veerappen Veerathanke dalam gabungan parti yang menerajui kerajaan dilihat sebagai bukti kemajmukan masyarakat dalam negara Malaysia.

Menurutnya, ia juga dapat membantu memperkukuhkan lagi PN yang didominasi oleh parti berjalur masyarakat majoriti dari kelompok bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak seperti BERSATU, STAR dan SAPP sebegitu berteraskan Islam seperti Pas.

Jelasnya, kemasukan Gerakan menjadi bukti PN bukan sekadar mendahulukan orang Melayu-Bumiputera, namun melihat kepentingan masyarakat berbilang kaum seluruhnya sebagai satu keluarga besar anak Malaysia yang begitu jelas dipelopori Muhyiddin.

Maka dengan ini, kata beliau, Armada ingin mengambil kesempatan mengucapkan ‘Selamat Datang’ kepada ‘adik-beradik’ dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia ke dalam PN.

“Moga kerjasama erat dan tautan kasih ini membuka lembaran baharu dalam membina Malaysia dengan silang budaya yang lebih utuh dan harmoni di bawah naungan PN bagi mengembalikan Malaysia selaku simbol keharmonian masyarakat Asia yang sebenar.

“Syabas Tan Sri Pengerusi, syabas tuan Presiden Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *