Pas pertikai Tommy Thomas tidak sentuh kes Guan Eng dalam bukunya

KUALA LUMPUR 11 Feb – Pas mempertikaikan mengapa bekas peguam negara Tommy Thomas tidak menyentuh isu membabitkan pengguguran kes mahkamah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam buku memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.
Malah, kata Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, tulisan-tulisan Thomas itu dilihat tidak menepati realiti yang berlaku.
“Ada yang komen tak sepatutnya dia menulis sekarang terhadap isu-isu terbabit. Bahkan ada yang disembunyikan dalam tulisan beliau khususnya isu yang melibatkan Guan Eng.
“Kenapa langsung tak disentuh? Fakta-fakta yang dibawa juga dipertikai oleh banyak pihak termasuk isu 13 Mei, faktanya tidak begitu. Itu banyak orang pertikai peranan dia sebagai peguam negara pada ketika itu.
“Isu menggugurkan kes Guan Eng walaupun kes tengah berjalan, isunya bukan kes itu tetapi isunya kenapa langsung tidak disentuh dalam tulisannya,” katanya.
Untuk rekod, dalam buku Thomas hanya sebaris ayat yang berkaitan dengan kes Guan Eng. Ayat itu berbunyi: “Hanafiah sendiri telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menjelaskan sebab-sebab dia membuat keputusan menarik balik tuduhan jenayah ke atas Guan Eng”.
Thomas tidak menjelaskan lebih terperinci, juga tidak menyatakan secara spesifik kes yang dimaksudkan.
Hal ini menimbulkan persoalan kerana keputusan menggugurkan tuduhan Guan Eng merupakan salah satu kritikan utama terhadap Thomas selama dia memegang jawatan sebagai peguam negara.
Dalam buku itu, dia mengulas kritikan lain terhadapnya, termasuk berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, dan berhubung mengugurkan pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan LTTE.
Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *