HALUAN Mahu Kerjasama Bersepadu Untuk Jadikan Malaysia Bebas Dadah

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) menggesa supaya semua pihak termasuk agensi penguat kuasa kerajaan, swasta dan masyarakat sama-sama berganding bahu bagi menjadikan Malaysia bebas dadah sepenuhnya.

Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata, tanpa kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak, usaha untuk jadikan negara ini bebas dadah akan sukar dicapai.

Menurut Abdullah, usaha kerajaan menangani isu dadah memperlihatkan  bahawa bahan terlarang itu tetap menjadi musuh nombor satu negara.

“Kerajaan tidak pernah lupa kepada isu lama yang menduduki tempat musuh nombor satu negara iaitu dadah.

“Cuma kejayaannya (menangani masalah dadah) tertakluk kepada keupayaan untuk mendapatkan kerjasama yang sepadu dan tidak berbelah-bahagi dari semua pihak iaitu agensi kerajaan, swasta dan masyarakat.

“Melalui usaha bersungguh-sungguh dan kerjasama semua pihak  secara bersepadu serta berterusan, kita mampu menjadikan Malaysia bebas dadah,’’ katanya.

Abdullah mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah menyasarkan ‘Dadah Terkawal 2025’ sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara.

“Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah,” kata Muhyiddin sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2021.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *