225 Murid Parlimen Nibong Tebal Terima Agihan Beg Sekolah, Kewangan

NIBONG TEBAL 5 Mac – Selama dua hari berturut-turut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Parlimen Nibong Tebal mengagihkan bantuan berupa beg sekolah dan kewangan kepada 225 murid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh dan DUN Sungai Bakap di sini.

Ketua BERSATU Bahagian Nibong Tebal, Yaakob Osman memberitahu, agihan beg dan wang tunai itu bagi meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan baharu.

Jelasnya, program sumbangan ini meliputi kawasan Surau Taman Enggang, Surau Taman Indera Timbalan, Dewan Ilmu Flat Mutiara Jaya, Masjid Padang Lalang, Dewan Wellesly, Tokong Sungai Kechil dan Taman Ilmu Sungai Acheh.

“Dalam masa dua sahaja, sejumlah besar sumbangan beg sekolah dan kewangan itu kita sampaikan.

“Ini merupakan program khidmat BERSATU untuk penduduk setempat. Janji kami, BERSATU bahagian ini akan terus membantu keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik dan persatuan ibu bapa dan guru kerana sentiasa komited dalam mendidik anak bangsa.

“BERSATU bahagian ini amat menghargai komitmen golongan pendidik dan PIBG kerana sentiasa berusaha tanpa mengenal erti jemu untuk memberikan ilmu kepada golongan murid,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *