Prihatin Mart jadi tumpuan penduduk, harga ditawarkan berkualiti dan murah  

AJIL 9 Mac – Kedai Runcit Bergerak atau lebih dikenali Prihatin Mart kini menjadi tumpuan ramai penduduk terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini kerana semua harga barangan yang ditawarkan lebih murah dari harga barangan runcit sedia ada.

Disebabkan keadaan itu, penduduk meminta agar konsep Prihatin Mart itu diperluaskan lagi memandangkan mereka memang memerlukan harga barangan yang murah dan pada masa sama berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid telah merasmikan Prihatin Mart itu di Dataran Masjid Durian Rendang, Kampung Baru, Ajil, Hulu Terengganu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Menurut Rosol, Prihatin Mart akan terus diadakan dan diperluaskan lagi  demi meringankan beban penduduk.

“Penduduk berpuas hati dengan harga ditawarkan, malah barangan juga berkualiti.

“Ramai mahu konsep Prihatin Mart ini diperluaskan lagi dan kita sedang usahakannya,” kata beliau.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *