Dakwaan UMNO ‘abang besar’ hanya persepsi politik – Bersatu

BUKIT KAYU HITAM: Dakwaan mengatakan UMNO menjadi ‘abang besar’ atau ‘big brother’ dalam proses untuk memulihkan jalinan kerjasama antara parti berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya satu persepsi politik.
Menurut Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, parti berkenaan kini sedang berusaha bersungguh-sungguh membentuk kerjasama erat antara parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk UMNO.
Jelasnya, agenda untuk mentadbir dan membangunkan negara dengan baik, mewujudkan suasana politik harmoni serta memberikan kesejahteraan kepada rakyat hanya akan dapat dicapai melalui satu bentuk kerjasama yang erat dan padu.

“Ini (dakwaan mengatakan UMNO itu abang besar hanya) persepsi politik, we (Bersatu) are doing our best untuk bekerjasama dengan semua parti dalam PN.
“Bagi pendirian Bersatu, hanya melalui kerjasama yang erat, yang padu, kita dapat meneruskan agenda untuk mentadbir negara, mewujudkan suasana politik yang (harmoni) dan juga menumpu usaha membangun ekonomi negara… dan rakyat jelata akan dapat manfaat daripada persefahaman yang erat antara parti yang ada dalam kerajaan,” katanya.
Mengenai kemelut dalam UMNO, beliau enggan mengulas lanjut dan berkata: “Itu kena tanya UMNO,”.
Ronald berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan di Kompleks Tahanan Sejuk Beku, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata Bersatu tidak boleh berbuat apa- apa sekiranya UMNO berasakan parti itu sebagai ‘abang besar’ atau ‘big brother‘ berhubung jalinan kerjasama antara kedua-dua belah pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelasnya, pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk membuat rundingan semula dengan UMNO supaya dapat bekerjasama dengan parti itu.
Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *