Integriti PN: Mesej yang perlu diuar-uarkan kepada rakyat

JELAJAH Dialog Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlangsung di Kedah dan Perak baru-baru ini banyak menerima maklum balas daripada ahli-ahli peringkat bahagian, mahupun sayap-sayap termasuk Srikandi, Armada dan juga ahli-ahli Bersekutu.

Pelbagai persoalan dikemukakan bermula dari soal kursus dan latihan, dana, hala tuju, keperluan ahli, program bahagian, strategi menentang parti lawan dan banyak lagi yang kesemuanya perlu diperjelaskan.

Semua persoalan ini membayangkan betapa jentera Penerangan BERSATU begitu bersemangat untuk bekerja.

Namun, sesuatu yang amat menarik apabila ada ahli bertanyakan mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh parti bagi memberi keyakinan kepada rakyat supaya memilih Perikatan Nasional (PN) dan perbezaan antara PN dengan parti-parti lain?

Mungkin pertanyaan bersahaja itu nampak tidak menarik. Dan mungkin ramai juga tidak sedar rahsia dimiliki BERSATU dan PN selama ini.

Jawapannya ialah ‘integriti’. Integriti yang dimiliki oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta integriti yang menjadi asas penubuhan dan perjuangan parti kita.

Integriti yang membawa maksud tidak terbabit, terpalit atau dikaitkan dengan kes-kes mahkamah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Dengan kata lain: bersih.

Perjuangan menegakkan integriti inilah yang menjadi sebab kenapa parti BERSATU ini ditubuhkan.

Presiden kita dipecat daripada kedudukan selesa sebelum ini kerana beliau tegas dengan integriti. Timbalan Presiden kita, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib-naib Presiden kita, serta ramai lagi yang bersama Tan Sri Muhyiddin, semuanya atas kesedaran mengenai peri pentingnya integriti.

Saya yakin rakyat masih ingat bahawa parti kita dan kerajaan PN ini adalah kerajaan yang mengutamakan soal integriti.

Inilah agenda yang kekal menjadi keutamaan PN iaitu menjalankan tanggungjawab serta memberi khidmat kepada rakyat dengan penuh integriti.

Khidmat yang diberi dengan penuh integriti itu dapat memastikan setiap pakej rangsangan, peruntukan dan perkongsian ekonomi terus sampai kepada rakyat.

Ini sejajar dengan prinsip BERSATU dan PN iaitu memberi khidmat kepada rakyat.

Kerajaan yang berintegriti serta pendokongnya mahupun pemimpin berintegriti dapat memastikan tadbir urus yang baik.

Keuntungannya adalah kepada rakyat. Jika ia berlaku sebaliknya, jika tiada integriti, yang menjadi mangsa adalah rakyat.

Rakyat akan hilang keyakinan kepada parti dan kerajaan yang tidak berintegriti. Rakyat sebelum ini sudah serik kerana menjadi mangsa oleh pemimpin mahupun kerajaan yang tidak berintegriti.

Episod hitam dalam sejarah negara itu puncanya ialah ketiadaan integriti.

Kita harus berasa bangga kerana mempunyai Perdana Menteri yang berintegriti. Yang antirasuah. Antipenyelewengan. Anticampur tangan urusan mahkamah.

Oleh itu, uar-uarkanlah bahawa parti kita punyai pemimpin yang berintegriti yang mengutamakan khidmat dan kebajikan rakyat.

Uar-uarkanlah perkara ini walaupun hingga kering tekak kita kerana ia suatu kebenaran yang jelas dan nyata.

Ahli-ahli parti dan rakyat akan berasa bangga kerana kita mempunyai pemimpin berintegriti. Pemimpin yang berintegriti menjadikan kerajaan yang ada sekarang juga berintergriti.

 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *