PEMBIAYAAN AGRO-YES DINAIKKAN SEHINGGA RM500,000

PUTRAJAYA, 18 Mac – Nilai pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Agrobank dinaikkan sehingga RM500,000.

Pada awalnya nilai pembiayaan adalah RM200,000 dan sempena pelancaran Agro-YES hari ini di sini, Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan nilai pembiayaan dinaikkan kepada RM500,000 bagi setiap permohonan.

“Ini mengambil kira keperluan modal permulaan yang tinggi bagi memulakan projek pertanian dengan penggunaan teknologi moden dan aplikasi Internet of Things (IoT),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Agro-Yes di Wisma Tani di sini.

Menurutnya MAFI telah memperuntukkan RM21 juta bagi pembiayaan Agro-YES ini. Semua Agropreneur Muda yang telah menjalankan projek pertanian dan beroperasi lebih 12 bulan layak untuk memohon untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap permohonan melalui Agrobank dengan kadar faedah yang sangat minima iaitu sebanyak 2 peratus setahun.

Katanya Agro-YES merupakan antara inisiatif MAFI menerusi Agrobank untuk menarik lebih ramai golongan muda yang berusia 18 sehingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *