Kerajaan Persekutuan beri komitmen penuh kepada kerajaan Sabah memacu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik

KOTA KINABALU, 22 Mac – Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memberi kerjasama padu kepada kerajaan negeri Sabah akan memacu kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negeri ini, kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut beliau kerajaan persekutuan dibawah Perikatan Nasional (PN) menyedari akan jurang perbezaan dalam aspek pembangunan di Sabah berbanding negeri lain di negara ini.

“Kerajaan negeri kini seiring dengan Kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kerajaan negeri Sabah diterajui Ketua Menteri Sabah YB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor telah memberi harapan baru terhadap agenda pembangunan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama di Kota Kinabalu, hari ini, menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang sosio ekonomi di Sabah berbanding negeri lain di negara ini dalam tempoh 10 tahun.

Ronald berkata pembentukan kerajaan negeri dibawah GRS adalah satu aspirasi rakyat Sabah yang mahu melihat lebih banyak pembangunan dilaksanakan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan yakin perancangan yang dilakarkan oleh kerajaan negeri akan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi, seterusnya membuka peluang pekerjaan.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *