Pelaksanaan undi 18 tahun kini ditunda pelaksanaannya dari Julai 2021 kepada September 2022 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dewan Profesional Bumiputera Malaysia yakin bahawa ramai anak muda telah bersangka baik dan bersikap positif terhadap keputusan ini.
Dewan ini juga amat optimis bahawa anak-anak muda tidak sabar menanti pelaksanaan undi 18 tahun kerana ia membolehkan mereka membantu memperkasakan kerajaan dan negara.
Sehubungan itu, Dewan ini berpendirian bahawa anak muda zaman ini amat bijaksana dan mereka komited untuk mengundi dan memperkuatkan kerajaan.
Bagi anak-anak muda, harapan mereka ialah agenda pembangunan perniagaan dan penyediaan peluang pekerjaan dapat diperhebatkan.
Dewan Profesional Bumiputera Malaysia juga berpendapat bahawa anak- anak muda tahu menilai antara intan dan kaca.
Mereka dapat membezakan pihak yang hanya mahu undi untuk kepentingan politik merebut kuasa dan mengejar jawatan berbanding mereka yang sangat gigih membantu menangani pandemik Covid- 19.
Untuk memastikan keputusan SPR menangguhkan undi 18 tahun tidak dieksploitasi oleh mana mana pihak, Dewan Profesional Bumiputera Malaysia mencadangkan supaya SPR dengan kerjasama NGO dapat segera mengadakan ‘roadshow’ bagi memperjelaskan bahawa penangguhan undi 18 sebenarnya adalah di atas alasan teknikal yang kukuh dengan harapan para belia faham dan menyokong keputusan penangguhan tersebut.