Kerjasama politik: Perlu ikhlas dan jujur, bukan retorik lakonan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan sifat keikhlasan dan kejujuran perlu menjadi asas kepada sesebuah kerjasama politik.

Menurutnya, sifat itu penting dalam memastikan sesebuah gabungan parti politik dilihat sebagai cakna rakyat dan prihatin dengan nasib rakyat.

“Dalam suasana hari ini, yang kita perlu ialah keikhlasan dan kejujuran untuk menyantuni dan membantu rakyat.

“Bukan retorik lakonan seolah-olah ikhlas dan jujur, tetapi sebenarnya hanya mahu membolot kuasa untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat yang mahu sebuah penjajaran politik dibentuk dengan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

Mengulas berkenaan perkara tersebut, Wan Saiful menyambut baik pandangan Abdul Hadi yang mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu.

Malah, beliau bersetuju dengan kenyataan Abdul Hadi supaya menolak politik yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya tanpa menghiraukan rintihan rakyat mengenai kesan wabak yang menimpa dunia.

“Pandangan Presiden PAS ini memang tepat sekali bahawa teras pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional ini adalah integriti.

“Kita tidak mahu pengalaman buruk negara berulang, tatkala banyak institusi pentadbiran dirosakkan oleh rasuah dan salah guna kuasa tidak lama dahulu.

“Bersatu ditubuhkan untuk menjadi sebuah parti baharu Melayu yang memperjuangkan integriti, tadbir urus yang baik, pembenterasan rasuah dan salah guna kuasa, serta menjamin kebebasan sistem kehakiman dan perundangan negara.

“Maka penekanan yang diberikan oleh Presiden PAS itu adalah amat tepat dan amat sesuai,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *