100 orang daftar vaksin dalam program BERSATU Dungun

DUNGUN 6 April – Prihatin mengenai pentingnya pengambilan vaksin Covid-19,  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Dungun melancarkan program Jom Daftar Vaksin dan berjaya menarik minat 100 orang untuk berbuat demikian.

Dalam program itu, BERSATU bahagian berkenaan membantu penduduk untuk urusan pendaftaran vaksin.

Selain itu, mereka yang mendaftar turut diberi penerangan mengenai pentingnya pengambilan vaksin.

Program tersebut diketuai oleh Ketua BERSATU Bahagian Dungun, Dato’ Abdul Aziz Ismail.

Setiausaha Kerja BERSATU bahagian, Syahir Ammar Sazely berkata, program itu dlancarkan setelah pihaknya mendapati masih ramai penduduk yang belum mendaftar pengambilan vaksin.

“Antara faktor berlaku keadaan ini ialah kerana ada orang  yang tidak mengetahui cara mendaftar maka BERSATU bahagian mengambil inisiatif membantu mereka.

“Ada juga yang kurang pengetahuan mengenai pentingnya vaksin ini, maka kita beri penjelasan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan program itu mendapat sambutan ramai, pihaknya bercadang meneruskan aktiviti tersebut.

Pada program yang sama, sebanyak 200 penunggang motosikal diberikan petrol percuma sebagai usaha BERSATU bahagian menyantuni orang ramai.

Minyak petrol itu diisi sendiri oleh Abdul Aziz sambil mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan beramah mesra.

“Dua program Perikatan Nasional (PN) Dungun ini mendapat kerjasama pasukan Rela.

“PN sedar mengenai ramai orang terkesan akibat pandemik Covid-19, oleh itu selain petrol percuma, kita juga ambil kesempatan supaya orang ramai mendaftar untuk pengambilan vaksin,” kata Syahir Ammar.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *