PN, polis ziarah keluarga buang anak, beri kaunseling

CUKAI 7 April – Masalah sosial termasuk kes buang bayi sesuatu yang perlu diberi perhatian serius kerana jika tidak ia akan merebak serta memberi masalah kepada masyarakat sekitar.

Antara faktor berlakunya masalah sosial buang anak ini ialah disebabkan kemiskinan hidup selain kurang pengetahuan agama, disisihkan masyarakat serta pelbagai faktor lain.

Bagi Perikatan Nasional (PN) Kemaman, apabila berlaku sesuatu kes melibatkan masalah sosial, ahli-ahli parti PN bersama pihak berkuasa akan segera cuba mengatasinya mengikut keadaan serta kemampuan.

Baru-baru ini satu kes melibatkan buang bayi yang berlaku menyebabkan ahli-ahli PN bersama polis daerah menyantuni keluarga terbabit selain memberikan khidmat nasihat serta kaunseling.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kemaman, Zawawi Ahmad bersama Ketua Polis daerah, Superintenden Hanyan Ramlan telah berkunjung ke rumah keluarga yang terbabit dalam kes buang bayi.

Menurut Zawawi, kunjungan yang turut disertai pemimpin Pas kawasan itu antara lain untuk memberi nasihat serta kaunseling kepada keluarga terbabit.

“Kunjungan kami untuk memberi nasihat dan kita tidak patut sisihkan atau pinggirkan keluarga terbabit.

“Keluarga terbabit juga mempunyai masalah sendiri termasuk dari segi kemiskinan.

“Sehubungan itu, dalam kunjungan tersebut kita turut sampaikan sumbangan barangan dapur harian bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Zawawi menambah, PN serta pihak berkuasa akan cuba terus membantu keluarga berkenaan dari semasa ke semasa.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *