Masa untuk Koperasi pergi lebih jauh

Koperasi atau dalam bahasa Melayu asalnya dipanggil ‘syarikat kerjasama’ adalah suatu bentuk wadah dan sistem yang mencantumkan urusan perniagaan, kemudahan kredit dan aktiviti keusahawanan dalam skala komuniti dengan objektif utama meningkatkan ekonomi rakyat.

Sejak zaman penjajahan British lagi, wujud kesedaran dalam kalangan petani, pekerja dan pegawai kerajaan untuk menubuhkan koperasi sama ada di luar bandar atau di bandar.

Fenomena dan usaha ini kemudiannya dipanggil sebagai ‘Gerakan Koperasi’.

Sejak 1922, gerakan tersebut telah termaktub dalam Enakmen Koperasi di sisi undang-undang negara.

Kini, seperti mana yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pelancaran Pelan Transformasi Koperasi 2021-2025 (TRANSKOM) pada 30 Mac lalu, beliau berkata,  koperasi adalah penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta dengan mempunyai jutaan anggota di seluruh negara, serta aset bernilai berbilion ringgit.

Apa yang uniknya model bisnes berasaskan koperasi ini ialah pemilikan serta keuntungan dikongsi bersama secara demokratik oleh para ahlinya, menjadikan ia suatu bentuk perniagaan milik bersama.

Ia mengajar erti kerjasama dalam menjayakan agenda sesuatu koperasi tersebut tanpa kepentingan individu atau keluarga tertentu.

Koperasi diklasifikasi mengikut jenis pendaftaran, saiz, fungsi dan kumpulan sasar.

Keperinciannya boleh dirujuk dalam laman sesawang rasmi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), iaitu badan berkanun yang bertindak sebagai agensi kerajaan yang mengawal selia gerakan koperasi di negara ini sejak tahun 2008.

Pemerkasaan gerakan koperasi juga didukung oleh Institut Koperasi Malaysia (IKM) yang ditubuhkan pada 1968 yang bertindak sebagai satu-satunya pusat latihan khusus untuk koperasi.

Ia bukan saja menyediakan kursus pengajian dalam bidang keusahawan dan pengurusan koperasi malah turut terlibat dalam penyelidikan, khidmat nasihat serta penerbitan bahan-bahan bagi mempromosi gerakan koperasi.

Pelbagai dasar telah dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia melibatkan koperasi secara langsung atau tidak langsung seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang merupakan strategi jangka panjang dalam menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan  unggul menjelang 2030.

Sebelum itu, Dasar Koperasi Negara 2011-2020 telah digubal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Berdasarkan status dan pencapaian semasa koperasi, di mana bilangan koperasi seluruh negara adalah 14, 625 di samping nilai aset sebanyak RM146.78 bilion dengan jumlah perolehan setinggi RM45.79 bilion, maka suatu bentuk perancangan baharu perlu dirangka oleh kerajaan bagi memacu peranan gerakan koperasi ini dalam mendepani tuntutan ekonomi domestik dan global di era Revolusi Perindustrian 4.0.

Melalui inisiatif MEDAC, kerajaan  yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN) telah merasmikan TRANSKOM bagi mentransformasi gerakan koperasi secara menyeluruh dalam tempoh masa 5 tahun (2021-2025).

TRANSKOM adalah dokumen pelan yang menggariskan langkah-langkah  strategik yang dipandu oleh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan mengikut fasa-fasa spesifik bagi menaik taraf koperasi-koperasi di negara ini secara teratur dan konsisten.

Kini terserah kepada ahli-ahli koperasi seluruh Malaysia untuk peka, prihatin dan saling menjayakan agenda nasional ini demi kemakmuran bersama.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Lembaga Pengarah
Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *