Penduduk Salang merungut tidak dibela sewajarnya oleh kerajaan negeri

PULAU TIOMAN 11 April – Berkunjung ke Salang di Pulau Tioman pasti ramai tidak menyedari masalah serta keperitan kehidupan penduduk di kawasan pelancongan ini sejak sekian lama.

Namun, hanya penduduk di Salang yang dianggarakan 316 orang itu lebih  mengetahui masalah-masalah yang perlu mereka lalui  setiap hari walaupun pelbagai rayuan telah dibuat selama ini untuk menyelesaikan segala permasalahan.

Masalah utama yang perlu dihadapi penduduk di Salang termasuk pelancong serta pengusaha resort ialah sumber air bersih.

Sejak bertahun-tahun lamanya, penduduk di Salang perlu mengambil inisiatif sendiri mencari sumber air termasuk mengeluarkan peruntukan sendiri yang sering kali melibatkan ribuan ringgit.

Antara proses yang perlu dilakukan ialah mendapatkan  sumber air dari dalam tanah dengan mengali perigi dan sebagainya.

Apa yang lebih merisaukan ialah sumber air yang diperolehi itu perlu dipastikan bersih sepenuhnya kerana ia akan digunakan bukan sahaja oleh penduduk malah pelancong tempatan dan luar negara.

Perkara ini diakui sendiri oleh seorang penduduk, Abdul Khalid Mohamad, 65, yang juga dikenali dengan panggilan Pak Teh dalam kalangan penduduk tempatan.

“Keperluan sumber air sangat penting. Sering kali apabila Salang keputusan sumber air, ia akan melibatkan para pelancong.

“Apabila ini berlaku, pelancong marah dan melahirkan rasa tidak puas hati sebab mereka telah membayar kos yang tinggi untuk datang dan tinggal di Pulau Tioman,” katanya.

Jelasnya, apabila sesuatu sumber yang diperolehi itu sudah tidak lagi mempunyai bekalan air, penduduk terpaksa mencari sumber baharu.

“Mencari sumber air baharu bukan mudah, kos perlu dikeluarkan melibatkan ribuan ringgit dan penduduk perlu tanggung sendiri kos tersebut,” katanya.

“Bayangkan jumlah penduduk di Salang sahaja 316 orang, manakala jumlah pelancong pula pada masa puncak empat kali ganda daripada jumlah penduduk.

“Dengan jumlah penduduk dan pelancong itu, apa akan berlaku jika bekalan air tidak mencukupi. Pasti pelancong akan marah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah penduduk di Salang kerana ia adalah kawasan pelancongan di Pahang.

“Adakalanya penduduk marah dan sedih apabila memikirkan perkara ini kerana belum ada penyelesaian,” katanya.

Abdul Khalid turut menyentuh mengenai masalah kedua penduduk iaitu ketiadaan klinik kesihatan terutama apabila berlaku sesuatu kes kecemasan.

Menurutnya, penduduk tidak meminta sebuah klinik besar tetapi memadai yang kecil bersama petugas.

Jelasnya, apabila berlaku sesuatu kes kecemasan melibatkan penduduk atau pelancong, mangsa perlu dihantar ke Kampung Tekek untuk mendapatkan rawatan tanpa mengira waktu

“Saya pernah alami satu peristiwa menyedihkan apabila isteri saya sakit dan saya terpaksa menghantarnya ke Kampung Tekek pada tahun 2015.

“Namun, nasib tidak menyebelahi saya apabila isteri, Zamaniah Mohamad, 55, meninggal dunia.

“Kejadian ini benar-benar menyedarkan saya bahawa penduduk Salang memerlukan sebuah klinik. Ada banyak lagi kes kecemasan yang berlaku dan mangsa perlu dikejarkan ke Kampung Tekek tanpa mengira waktu,” katanya.

Satu lagi masalah di Salang ialah keadaan jeti yang sudah uzur dan membahayakan bukan sahaja kepada penduduk malah pelancong.

Menurut Abdul Khalid, disebabkan keadaan jeti yang tidak diselenggara atau diganti baharu itu, aktiviti selam skuba tidak lagi dibenarkan di bawah atau berhampiran jeti berkenaan.

“Disebabkan jeti itu sudah uzur, ia boleh membahayakan penyelam skuba selain  bot-bot atau feri yang datang berlabuh menggunakan jeti berkenaan,” katanya,.

Abdul Khalid meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada keluh-kesah penduduk  Salang dan mahu pemimpin negeri turun padang dan bertemu penduduk Salang bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai masalah dihadapi .

“Turunlah padang dan selesaikan masalah penduduk Salang. Jangan biarkan kami terkapai-kapai di sini,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *