BERSATU Kedah persiapkan ahli-ahli dengan kemahiran pidato

KUBANG PASU 12 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Kedah mengambil inisiatif mempersiapkan diri dengan menerapkan kemahiran berpidato kepada ahli-ahlinya agar mampu berdepan dengan rakyat bagi menangani segala pertanyaan dan persoalan yang dibangkitkan masyarakat.

 

Untuk itu, BERSATU Negeri Kedah telah menganjurkan Kursus Asas Pidato sebagai kemahiran tambahan untuk ahli-ahli supaya dapat berhujah termasuk ketika berdepan dengan parti-parti pembangkang.

Sebanyak 30 peserta menyertai kursus asas yang dianjurkan oleh BERSATU Bahagian Kubang Pasu dan Jerlun itu serta dirasmikan oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Turut hadir dalam program yang julung kali diadakan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saat.

Kursus pidato itu dikendalikan oleh Ketua Penerangan BERSATU Padang Serai, Khairul Anuar Ramli.

Kursus tersebut antara lain bertujuan memberi kemahiran agar peserta petah berhujah dengan fakta-fakta bernas bagi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, isu rakyat dan yang berkaitan dengan pandemik Covid-19.

Malah, BERSATU Negeri Kedah kini dalam usaha memperluaskan kursus asas tersebut ke bahagian-bahagian lain di seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

“Kursus asas ini akan diadakan secara berperingkat dan harapan kita ahli-ahli parti dapat menimba ilmu dengan isu-isu semasa.

“Kemahiran yang diperolehi dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tepat agar rakyat memahami isu-isu semasa yang dibangkitkan,” kata Khairul.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *