Najib tiada ‘moral standing’ – Wan Saiful

KUBANG PASU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak memiliki ‘moral standing‘ untuk memberi pandangan terhadap apa yang perlu dilakukan kerajaan pada ketika ini.

Menurutnya, tindakan Najib ketika ini adalah menjengkelkan dan membuatkan rakyat tertanya-tanya mengapa beliau tidak melakukan semua itu ketika masih berkuasa.

“Sekarang ini banyak betul pandangan beliau mengenai apa patut kerajaan lakukan tetapi saya rasa Najib tidak mempunyai ‘moral standing‘ untuk berbuat demikian.

“Kita jangan lupa sejarah yang berlaku, bagaimana Najib tinggalkan begitu besar masalah dalam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sumbangan Kasih Aidilfitri Parlimen Kubang Pasu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Tambahnya, rakyat boleh membuat penilaian terhadap bekas Perdana Menteri itu berdasarkan perbuatan yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Saya menyerahkan kepada rakyat sama ada mahu memberi sokongan kepadanya lagi ataupun tidak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa hubungan membabitkan Bersatu dan UMNO terutama di peringkat akar umbi masih lagi berjalan seperti biasa.

Jelasnya, tindakan mengkritik kerajaan dan ‘menghentam’ kepimpinan Bersatu didapati hanyalah melibatkan beberapa individu tertentu serta tidak melibatkan keseluruhan ahli UMNO. – UTUSAN

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *