BERSATU Kemaman utamakan keperluan asnaf, anak-anak yatim

CHUKAI  5 Mei – Dengan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, pelbagai persiapan dilakukan oleh umat Islam, namun masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan menghadapi bermacam-macam kekurangan.

Ini tidak terkecuali golongan asnaf termasuk anak-anak yatim.

Menyedari keperluan asnaf dan anak-anak yatim itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kemaman menggorak langkah menyantuni serta menghulurkan sumbangan kepada golongan terbabit.

Keprihatinan BERSATU bahagian itu bagi membolehkan golongan terbabit membuat persiapan bagi  menyambut  Aidilfitri.

BERSATU Bahagian Kemaman berpandangan bahawa keperluan golongan asnaf dan anak-anak yatim itu perlu diutamakan berbanding keperluan mana-mana ahli-ahli parti sendiri yang lebih bernasib baik.

“Dalam hal ini, BERSATU bahagian telah mengenal pasti golongan asnaf serta anak-anak  yatim terbabit dengan menyampaikan  duti raya, selain meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa.

“Dalam program tersebut, sebanyak 100 anak-anak  yatim diberikan duit raya dan mereka ini adalah dari keluarga asnaf,” kata Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Kemaman, Mohd. Noor  Maat Ail.

Program itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua  BERSATU Bahagian Kemaman, Zawawi  Ahmad yang berkesempatan serta beramah mesra dengan anak-anak yatim berkenaan.

Program  tersebut anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih Kemaman  dengan Zawawi sebagai penaung.

Mohd. Noor yang juga Pengerusi Nur  Kasih Kemaman berkata, pihaknya akan terus membantu golongan kurang bernasib baik terutama menjelangnya Aidilfitri yang semakin hampir.

“Harapan kita, mereka yang dibantu ini dapat meraikan  Aidilfitri dengan penuh bermakna dan meriah seperti juga  orang lain,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *