Kenapa PKP dilaksana di seluruh negara?

BERMULA 12 Mei hingga 7 Jun, PKP dilaksanakan di seluruh negara. Langkah tersebut pasti menimbulkan pelbagai tanggapan serta pertanyaan.

Apa pun, sebelum mengulas lanjut, eloklah setiap diri kita diuar-uarkan dalam masa terdekat ini, rakyat negara ini bakal menyambut tiga perayaan besar.

Tiga perayaan itu ialah Hari Raya Aidilfitri 13 Mei, Pesta Keamatan 31 Mei dan Hari Gawai 1 Jun.

Kenapa PKP dilaksanakan seluruh negara? Lihatlah fakta terkini iaitu jumlah kes positif Covid-19 sudah melebihi 4,000 kes sehari dengan total kematian mencecah 1,700 sehingga.

Mengambil iktibar dari kesilapan India membenarkan Kumbh Mela di Gangga River hingga membawa kes positif kepada 400,000 sehari dan kematian melebihi 3,500 sehari, maka Majlis Keselamatan Negara mengambil langkah membendung dari merawat.

Paling utama ialah bagi menyekat penularan tiga varian baharu dan berbahaya iaitu:

B1117 – dari UK. Dikesan di United Kingdom pada September 2020. Lebih berbahaya dari virus asal. Merebak pantas ke seluruh dunia dengan 1/3 lebih pantas dari kes di Amerika Syarikat. Ia 90 peratus lebih mudah merebak dari varian asal.

B1351 – dari Afrika. Mula dikesan di Nelson Mandela Bay Oktober 2020. Mula tiba di Malaysia awal April, 2021. Dua dos vaksin yang ada tidak mampu melawan varian ini.

B1616 – dari India. ‘Double mutant’ yang menjadi sangat ‘superspreader’. Paling sukar dilawan oleh vaksin sedia ada. Dikatakan sebagai wabak Covid gelombang kedua selepas gelombang pertama dari Wuhan.

Dengan fakta menggerunkan ini, adakah rakyat negara ini tidak tahu atau tidak mahu mengambil tahu?.

Kesemua vaksin yang berada di pasaran hari ini dicipta sebelum kemunculan ketiga-tiga varian berbahaya berkenaan.

Waktu itu saintis tidak terfikir akan kewujudan varian-varian berbahaya ini. Maka, vaksin generasi kedua sedang dibangunkan untuk melawan varian ini.

Nampaknya, virus Covid ini bukan sahaja mudah merebak dan berjangkit tetapi ia mudah beranak-pinak dan menjadi lebih ganas apabila beranak-pinak.

Maka, kita jangan fikir tentang soal PKP, pergerakan disekat dan aktiviti dikawal semata-mata. Yang harus lebih difikirkan manusia sekarang ini ialah bagaimana kita tidak dijangkiti.

Walaupun sekatan manusia dilakukan di setiap pintu masuk sesebuah negara, namun satu-satunya yang tidak mampu disekat pergerakannya ialah haiwan liar di laut dan di udara yang sesetengahnya menjadi makanan manusia serta angin yang berubah.

Ingat! Virus ini tidak berbahaya jika disentuh atau terkena kulit. Ia jadi bahaya apabila kulit yang tercemar itu seperti jari dan tapak tangan dibawa ke rongga seperti hidung atau mulut.

Ramai hanya pakai penutup hidung dan mulut kerana SOP tetapi kebersihan badan dan tangan semakin dilupai. Malahan, bersentuhan sudah kembali menjadi amalan walaupun varian baharu sudah merebak.

Bukan hendak menakut-nakutkan tetapi ini kenyataan dan kita harus kembali lebih cakna seperti mana kita cakna dengan diri kita semasa PKP 1.0 dulu.

Tetapi sekarang, jika tidak buat PKP kita tekan dan bising, dibuat PKP kita komplen dan marah. Perdana Menteri umum di TV kita kutuk, dia tak keluar TV pun kita kutuk. Artis, VIP rentas negeri kita bantai. Tetapi sudah dua hari ni, kenderaan keluar dari Kuala Lumpur terutama ke Pantai Timur macam tidak ada wabak sedang melanda.

Ramai cuba menipu. Polis ketatkan kawalan sebab ramai menipu diri sendiri. Hilang kejujuran. Kelantan sedang dilanda wabak serius, ramai pula hendak ke sana. Bawa pulak wabak dari Selangor dan Kuala Lumpur yang sedang tinggi. Di mana rasional? Ya, rasional yang ada ialah salah kerajaan. Semua salah kecuali diri sendiri. Kita sahaja yang betul.

Maka, tiga perayaan yang bakal tiba secara ‘back to back’ ini akan dikawal pergerakan manusia. Kita rayakan tetapi secara sederhana. Bukan kita sahaja, seluruh dunia. Ini malang dan takdir yang kita harus berdepan.

Wabak ini banyak mengajar kita terutama erti kesabaran dan hargai kebebasan. Banduan penjara sudah merasa bagaimana pergerakan disekat. Jika puasa ajar kita bagaimana si miskin hidup berlapar, penyakit ajar kita bagaimana rasanya jadi banduan tetapi di luar penjara, di rumah sendiri.

Akhir kata, selamat bersiap menyambut Hari Raya Aidilfitri, Keamatan dan Gawai.

ZAKARIA RAHIM 
Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Pandan

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *