PKP untuk lindungi rakyat, bukan menzalimi

PUTRAJAYA 14 Mei – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kerajaan menguatkuasakan PKP di seluruh negara adalah bertujuan melindungi nyawa rakyat dari pandemik Covid-19.

Beliau berkata, tindakan itu bukan menzalimi rakyat sebaliknya mahu melindungi nyawa rakyat dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

Muhyiddin berkata, kerajaan khuatir jumlah kes positif Covid-19 berkemungkinan akan melonjak puluhan ribu sehari jika rantaian pandemik itu gagal diputuskan.

“Selesai sahaja kita merayakan Aidilfitri, berkemungkinan kes positif Covid-19 melonjak puluhan ribu sehari,” katanya.

Jelas beliau, jika rakyat dibenarkan balik kampung dan ziarah rumah ke rumah, kemungkinan besar ada tetamu yang datang positif Covid walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Menurutnya, jika keadaan ini berlaku, jumlah kes positif Covid-19 akan meningkat dan rantaian pandemik itu tidak dapat diputuskan.

“Ini bukan satu keputusan yang popular. Ada yang marah pada saya.

“Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah daripada rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang itu positif Covid-19. Ramai pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom.

“Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Jika pandemik ini terus berjangkit dari rumah ke rumah, akhirnya habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak puluhan ribu sehari,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *