PETALING JAYA – Tindakan pemimpin DAP, Teng Chang Khim menggunakan perkataan ‘Bodoh!’ terhadap Perdana Menteri melalui Facebooknya mencerminkan sikap biadap beliau.
Malah, perkataan yang digunakan itu juga seolah-olah Chang Khim memusuhi orang Islam selain mencerminkan jiwanya yang menyokong Zionis Yahudi.
Ketua Armada BERSATU Negeri Selangor, Haszrilhafizi Mohayan memberitahu, tidak keterlaluan jika Armada Selangor menganggap Chang Khim sebagai kurang ajar.
Soalnya, apakah patut Chang Khim yang tinggal dalam negara Islam seperti Malaysia dan sentiasa memberi keamanan serta perlindungan kepada semua kaum dan agama rakyat dalam negara ini, bertindak keterlaluan serta diluar batasan kemanusian.
“Perdana Menteri hanya menyentuh isu Palestin dan Israel dan beliau tidak pernah hilang fokus atau hilang keutamaan terhadap masalah rakyat di negara ini.
“Apabila Chang Khim mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ itu, jelas sekali pemimpin DAP itu menyokong Yahudi serta memusuhi Islam.
“Tiba-tiba sahaja Chang Khim bersuara untuk menjadi hero apabila bercakap pasal isu rakyat dan Covid-19. Pada hal selama ini sejak Perdana Menteri memberi tumpuan pada penyelesaian isu rakyat, pemimpin DAP itu tidak pernah menyokong, malah menidakkan usaha-usaha Perdana Menteri,’’ katanya.
Di samping itu, kata Haszrilhafizi, walaupun Chang Khim sudah memadamkan status berkenaan dalam Facebook beliau, namun perbuatan itu telah dibaca oleh ramai orang.
Sehubungan itu, Haszrilhafizi mahu pihak berkuasa menyiasat serta mendakwa Chang Khim.
“Tidak ada gunanya kita minta DAP menggenakan tindakan tatatertib atau memecat Chang Khim kerana DAP akan memberikan pelbagai alasan dan perkara sedemikian memang sudah dijangka.
“Yang lebih berkesan ialah pihak berkuasa perlu bertindak menyiasat serta mendakwa agar menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.