Palestin: Malaysia perlu memainkan peranan lebih luas

KUALA LUMPUR 25 Mei – Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malayasia (HALUAN), Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata, penyelesaian isu Palestin memerlukan sokongan semua umat Islam seluruh dunia.

Beliau berkata, apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin pada akhir Ramadan baru-baru ini, menimbulkan satu kesedaran umum dalam masyarakat dunia bahawa kekejaman Israel perlu dihentikan.

Jelasnya, secara tidak langsung rakyat Palestin bukan sahaja mendapat sokongan dari dunia Islam bahkan juga dunia bukan Islam terutama aktivis-aktivis hak asasi kemanusian.

“Malaysia seharusnya tidak terkecuali dalam menyokong arus baharu dunia terhadap Palestin.

“Kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh Israel sudah tidak dapat ditutup lagi.

“Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil peluang untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk terus membina hubungan baik dengan kerajaan Palestin pimpinan Fatah supaya Malaysia tidak dilihat berhaluan kiri,” katanya.

Untuk itu kata beliau, kerajaan Malaysia boleh membuat hubungan dengan Palestin melalui wakil yang diyakini seperti pertubuhan bukan kerajaan.

Menurutnya, antara bidang yang boleh Malaysia terlibat untuk membantu Palestin termasuk kesihatan seperti menangani Covid-19, bantuan kecemasan, ubat-ubatan dan keperluan kesihatan lain.

“Juga bantuan membina semula infrastruktur yang musnah seperti hospital, jalan raya, rumah awam, sekolah dan universiti.

“Malah dari segi pendidikan seperti menaja pelajar-pelajar Palestin sama ada di peringkat bawahan, menengah dan universiti.

“Di samping itu, bantuan juga boleh melibatkan keperluan asas seperti air bersih, bekalan makanan, peruncitan, pertanian dan banyak lagi,” katanya.

Beliau seterusnya meminta kerajaan Malaysia agar terus mendesak PBB dan OIC untuk meletakkan Palestin dan hak rakyatnya pada tempat yang penuh dengan keadilan.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *