PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion, manakala Menteri dan Timbalan Menteri sumbang tiga bulan gaji – Muhyiddin

PUTRAJAYA 31 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus sebagai inisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan PKP pada masa ini.

Perdana Menteri berkata, nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion di mana suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Dalam ucapan beliau itu, Muhyiddin turut membuat kejutan apabila memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya.

 

 

Meneruskan ucapannya, Perdana Menteri berkata, langkah baharu PEMERKASA Plus itu akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama seperti berikut:

Pertama: Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam.

Kedua: Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat.

Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memastikan kapasiti kesihatan awam sentiasa diberi keutamaan.

Untuk itu, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

“Pertambahan peruntukan ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh tetapi sebaliknya dapat beroperasi dengan berkesan,” katanya.

Mengenai agenda prihatin rakyat, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan rentan dan pekerja yang bergantung kepada upah harian supaya dapat terus dibantu.

“Tidak dinafikan, mereka inilah antara yang paling terkesan susulan penguatkuasaan PKP ini.

“Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

“Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima kadar sebanyak RM300.

“Golongan bujang pula akan menerima RM100. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti,” katanya.

Mengenai moratorium, beliau berkata, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya.

Di samping itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan akan terus membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka.

Jelasnya, salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan ialah melalui pemberian Geran Khas Prihatin atau GKP.

“Sehubungan itu, sukacita diumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500.

“Ini bermakna, hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000  pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira iaitu kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas.

Sehubungan itu, katanya, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.

“Ingin saya tekankan sekali lagi, selain inisiatif yang diumumkan ini, masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *